Pengorbanan Seorang Adik
Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku.
Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi
keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar
ayah.
Petang itu, pulang saja dari sekolah ayah memanggil kami berdua Dia
meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat
rotan panjang sedepa di tangan ayah.
“Siapa ambil duit ayah?” tanya ayah bagai singa lapar. Aku langsung
tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah.. Kedua-dua kami
membisu, cuma tunduk memandang lantai.
“Baik, kalau tak mengaku, dua-dua ayah rotan!” sambung ayah sambil
mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.
Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya
sambil berkata, “Saya yang ambil!”.
Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu,
hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,
lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun
airmata adik tak tumpah..
Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut: “Kamu
sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu
yang akan memalukan ayah di luar kelak?”.
Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang
berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun, adik cukup
tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang
mencucuk-cucuk.
Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku
yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua
belah tangannya lalu berkata, "Jangan menangis kak, semuanya dah
berlalu!” Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.
Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan
aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke
sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke
peringkat pra-universiti. Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu
minyak tanah bersama ibu di ruang tamu.
Aku terdengar ayah berkata, “Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam
pelajaran. Abang bangga sekali!” “Tapi apalah maknanya bang…!”, aku
terdengar ibu teresak-esak. “Dimana kita nak cari duit membiayai
mereka?” Ketika itulah adik keluar dari biliknya.
Dia berdiri di depan ayah dan ibu. “Ayah, saya tak mahu ke sekolah
lagi!” Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya
dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg….
sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku
lakukan ialah menutup muka dan menangis.
“Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana
persekolahan kamu, ayah akan lakukan!, Orang lelaki kena bersekolah.
Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada
kemiskinan". Aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang
bengkak. “Kakak perempuan… biarlah kakak yang berhenti.”
Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia
membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas
pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang
tercatat…. . “Kak…untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah.
Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak". Apa lagi yang saya tahu
selain meraung.
Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.
Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: “Ada
pemuda kampung tunggu kau kat luar!” “Pemuda kampung?” bisikku.
“Siapa?” Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik
berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. “Kenapa
sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!” Sambil tersenyum dia
menjawab, “Akak lihatlah pakaian adik ni.
Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?”
Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup
tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas
bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.
Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, “Akak tak peduli apa
orang lain kata.” Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut
berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, “Kak,
saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk
akak.” Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap.
Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat
ditahan-tahan. Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu
konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti
selalu. “Emak, tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut
saya balik.” “Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis
tangannya luka-luka.” Aku menerpa ke biliknya.
Cantik senyum adik. Kami berdakapan. “Sakit ke?” aku bertanya tatkala
memeriksa luka pada tangannya. “Tak….Kak tahu, semasa bekerja sebagai
buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa
tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat
menghentikan usaha saya untuk bekerja keras.” Apalagi…aku menangis
seperti selalu.
Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan
menawarkan jawatan pengurus kepada adik. “Kalau adik terima jawatan tu,
apa kata orang lain?” kata adik. “Adik takde pelajaran. Biarlah adik
bekerja dengan kelulusan yang adik ada.” “Adik tak ke sekolah pun
kerana akak.” kata ku memujuk. “Kenapa sebut kisah lama, kak?” katanya
ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.
Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah
tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung,
juruacara majlis bertanya, “Siapakah orang yang paling anda sayangi?” .
Spontan adik menjawab, “Selain emak, kakak saya….”, katanya lantas
menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati. “Semasa
sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.
Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai
kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia
berjalan dengan sebelah kasut.. Sampai di rumah saya lihat kakinya
berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar". “Sejak itulah saya
berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan
kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila.”
Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.
p/s aq copy and paste je citer ni dh lme dh aq bce tp entah nape skang bru rse nk copy and paste
No comments:
Post a Comment