Monday, 7 May 2012

Bagaimana mengeluarkan dosa2 dari jari jemari kita

Di dalam kehidupan seharian kita, pasti akan ada kesilapan yang kita lakukan baik yang sengaja mahupun yang tidak sengaja. Hal ini kerana kita dijadikan oleh Allah swt dalam keadaan lemah seperti firman Allah swt yang bermaksud:
“Kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah” (An-nisa:28)
Ayat ini adalah bukti yang sangat jelas bahawa setiap manusia pasti ada kesilapan dalam kehidupannya.
Justeru itu, Allah swt telah menyediakan beberapa kaedah untuk menghapuskan dosa dan noda tersebut daripada bersarang di dalam hati mengikut apa yang telah diajar sendiri oleh pesuruhnya iaitu Rasulullah saw, kerana kita perlu tahu bahawa dosa dan noda akan menggelapkan hati kita daripada kebenaran, maka kita akan dapati di sana beberapa kegagalan yang terpaksa kita hadapinya disebabkan dosa dan noda tadi.
Dalam beberapa kaedah yang telah disediakan oleh Allah swt untuk membersihkan diri kita daripada dosa salah satunya ialah mengambil wuduk dengan sempurna. Ini telah dinyatakan sendiri di dalam hadis Nabi saw daripada Uthman Bin Affan r.a. yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengambil wuduk dan dia menyempurnakannya dengan baik, digugurkan dosa-dosa daripada jasadnya sehingga keluar daripada jari-jarinya”. (Riwayat Muslim)
Juga daripada hadis Nabi saw yang bermaksud:
“Apabila berwuduk seorang mukmin, maka dia membasuh mukanya, keluar dosa daripada wajahnya setiap kesalahan yang dilihat dengan matanya bersama air basuhan atau titisan air, maka apabila dia membasuh kedua-dua tangannya, keluar dosa daripada kedua tangannya setiap kesalahan yang dilakukan dengan tangannya bersama air basuhan atau titisan air sehinggalah bersih dan suci daripada dosa-dosa (kecil)”. (Riwayat Muslim (23) dalam bab Taharoh)
Berdasarkan hadis-hadis tadi telah membuktikan bahawa maha rahmatnya Allah swt terhadap hamba-hambanya yang berdosa, mungkin bagi kita perbuatan itu nampak kecil sehingga kita mengamalkannya sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh, tetapi bagi Allah swt ianya sangat besar. Ini belum lagi dikira amalan-amalan yang lain seperti solat, bercakap perkataan yang baik, membantu ibu bapa, belajar bersungguh-sungguh, dan sebagainya, maka berapa banyak kebaikan yang kita telah perolehi di samping menghapuskan kesalahan kita sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:
“Sesungguhnya amal-amal kebaikan itu dapat menghapuskan kejahatan” (Hud:114)
Tetapi kita perlu ingat bahawa dosa-dosa besar hanya akan dihapuskan dengan solat taubat dan beberapa syarat yang lain, begitu juga dengan kesalahan yang kita buat kepada individu yang lain, maka wajib bagi kita untuk meminta maaf darinya.
Kadang-kadang saya hairan melihat segelintir masyarakat, apabila mereka ingin mendekatkan diri kepada Allah swt, ada sahaja amalan lain yang tidak diajar oleh Nabi saw menjadi amalannya dengan bersungguh-sungguh, walhal perkara itu sangat dilarang oleh agama yang suci ini. Sedangkan dalam masa yang sama solatnya masih lagi compang-camping, wuduknya masih tidak sempurna, dan amalan-amalan ma’thur yang lain. Maka kita perlu sedar bahawa amalan fardu ain dan amalan-amalan sunat  yang menjadi amalan seharian kita sudah cukup untuk kita memperoleh fadilat dan ganjaran yang sangat besar, tetapi dengan syarat kita melaksanakannya dengan tepat dan benar seperti apa yang diajar oleh baginda saw. Perlu dimuhasabahkan bahawa Allah swt tidak melihat kepada kuantiti ibadah kita, tetapi yang dilihat adalah kualiti dan istiqomah ibadah kita seperti firman Allah swt yang bermaksud:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup kamu, untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”. (Al-mulk:2)
Selain itu juga, falsafah daripada pengambilan wuduk ini jelas membuktikan bahawa agama Islam sangat menitik beratkan konsep kebersihan diri dalam kehidupan individu Muslim, apatah lagi kebersihan di tempat yang didiaminya. Tetapi malangnya, kebanyakan orang bukan Islam mempraktikkan kebersihan diri dan sekitarnya dengan begitu tekun dan bersungguh-sungguh.
Oleh itu, saya akan huraikan beberapa ciri dan kriteria yang perlu kita laksanakan sejurus untuk mendapatkan fadilat-fadilat wuduk dengan sempurna bersama dalil-dalilnya.

Apakah fardu-fardu wuduk berdasarkan dalil Al-Quran dan Sunnah:
1.   Niat dalam hati.
Niat adalah keazaman di dalam hati kita dengan bersungguh-sungguh untuk mengambil wuduk hanya kerana patuh dan taat kepada Allah swt. Niat adalah wajib dilaksanakan pada setiap amalan yang wajib, tanpanya tidak sah ibadah seperti mana hadis yang diriwayatkan Umar bin Khattab r.a. bahawa Nabi saw bersabda:
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat”. (Riwayat Bukhari 1/3 No 1, dan Muslim 13/53 no 1907)
Niat boleh dilakukan dengan salah satu dari tiga bentuk, seperti menyebutkan dalam hati: “Aku berniat mengangkat hadis”. Atau: “Aku berniat membolehkan (Istibahah) sembahyang, atau tawaf, atau menyentuh mushaf”. Atau: “Aku berniat menunaikan fardu wuduk”.
2.   Membasuh wajah daripada bahagian dahi yang paling atas sehingga ke bawah dagu dan daripada anak telinga kanan sehingga ke anak telinga kiri, kawasan itu wajib dibasuh dengan air wuduk. Firman Allah swt: “Maka basuhlah muka kamu”.
3.   Membasuh dua tangan hingga ke siku  berdasarkan firman Allah swt: “Dan kedua-dua belah tangan kamu meliputi siku”. Wajib sampai air pada kedua-dua belah tangan dari jari-jari, tapak tangan dan lengan, seperti mana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. pada sifat wuduk Nabi saw:
Bahawa beliau berwuduk lalu membasuh mukanya, kemudian membasuh tangan kanannya sehingga ke paras siku, selepas itu beliau membasuh tangan kirinya, kemudian menyapu kepalanya, kemudian membasuh kaki kanan hingga ke paras buku lali, kemudian membasuh kaki kiri ke paras buku lali, kemudian berkata: “Demikianlah aku melihat Rasulullah saw berwuduk” (Muslim 3/134 No 246)
Jika seseorang mempunyai jari yang lebih wajib dibasuh sebagai langkah berhati-hati dalam ibadah, dan sekiranya tangan berlubang wajib dibasuh batinnya, kerana ia telah menjadi zahir. (Kitab Majmu’ 1/417)
Sekiranya tidak mampu untuk mengambil wuduk sendiri, maka dibolehkan untuk mencari orang lain mewudukkannya secara sukarela atau dengan upah.
4.   Menyapu sebahagian kepala berdasarkan firman Allah swt:
“Dan sapulah sebahagian dari kepala kamu”
Sapu sebahagian kepala sekurang-kurangnya lalukan pada ubun-ubun kita (iaitu bahagian depan kepala), Seperti hadis yang diriwayatkan oleh Al-Mughiroh bin Syu’bah r.a. :
“Bahawa Rasulullah saw berwuduk, dan menyapu ubun-ubunnya”. (Muslim 3/174 No274)

No comments:

Post a Comment